8 pasukan berentap dalam Kejohanan Wushu Antarabangsa Brunei





Oleh : Nurhamiza Roslan / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC) pagi tadi berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Wushu Antarabangsa Brunei kali pertama 2024 yang berlangsung di Pusat Belia Bandar Seri Begawan.

 

Sebanyak lima kategori terdiri daripada gaya bebas Chang Quan Lelaki, Nan Quan Lelaki, Nan Quan wanita, Daoshu Lelaki Kumpulan 'C' dan Quan Shu Wanita Kumpulan 'D' dipertandingkan pagi tadi.

 

Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan pengurniaan pingat kepada pemenang gaya bebas Chang Quan lelaki.

 

Pada sebelah petang, DYTM turut berangkat menyaksikan Kejohanan Wushu Antarabangsa Brunei yang menyaksikan sebanyak 15 kategori dipertandingkan.

 

Terdahulu, kejohanan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

 

Kejohanan disertai oleh lapan pasukan dari enam negara iaitu Negara Brunei Darussalam (NBD), Australia, China, Hong Kong, Indonesia dan Malaysia. Kejohanan diadakan selama tiga hari sehingga Ahad ini.

 

Pada Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Antarabangsa Brunei itu, Presiden Persekutuan Wushu Brunei Darussalam, Awang Lim Boon Hwa dalam ucapannya, mengalu-alukan kedatangan atlet-atlet Wushu bersama jurulatih dan rombongan rasmi dari luar negara yang akan menyertai kejohanan.

 

Menurutnya, sebanyak lapan pasukan termasuk pasukan NBD akan bertanding dan berharap semua atlet akan mendapat manfaat daripada menyertai kejohanan itu serta akan dapat menambah pengalaman dan kematangan yang mereka perlukan untuk menang dalam setiap pertandingan.

 

Menyentuh mengenai kejohanan berkenaan, Awang Lim Boon Hwa berkata penganjuran kejohanan seperti ini akan dapat meningkatkan kemahiran hakim Wushu tempatan serta kakitangan teknikal.

 

Ini katanya, adalah berguna untuk pertandingan yang akan datang yang juga penting untuk mempromosi dan memperbaiki standard sukan Wushu negara.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, BDNOC, pihak penganjur, ahli jawatankuasa, sukarelawan, ibu bapa para atlet dan juga ahli media.

 

Close